WASHINGTON, 14 April – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan rancangan untuk menetapkan kadar tarif ke atas semikonduktor yang diimport minggu hadapan, dengan kemungkinan kelonggaran diberikan kepada sesetengah syarikat.
Langkah itu dijangka memberi kesan besar kepada sektor teknologi, termasuk telefon pintar dan komputer yang sebelum ini dikecualikan daripada tarif timbal balas terhadap China.
Trump turut memaklumkan pelancaran siasatan perdagangan atas alasan keselamatan negara yang melibatkan keseluruhan rantaian bekalan elektronik. "Kita mahu menghasilkan cip dan semikonduktor di negara kita sendiri," ujar beliau kepada media ketika dalam penerbangan pulang ke Washington.
Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick, menjelaskan tarif baharu akan dikenakan dalam tempoh dua bulan ke atas telefon pintar, komputer dan produk elektronik lain, termasuk semikonduktor dan farmaseutikal.
Tarif itu akan dikenakan secara berasingan daripada tarif timbal balas sedia ada, yang telah mencecah 125 peratus.
Tindakan tersebut mencetuskan reaksi balas daripada China yang turut menaikkan tarif kepada 125 peratus ke atas import dari AS. Kementerian Perdagangan China menyifatkan situasi itu perlu diselesaikan oleh pihak yang memulakannya.
White House dilaporkan sedang mengadakan rundingan perdagangan dengan tujuh negara termasuk Jepun, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah, namun tiada rancangan untuk perbincangan dengan Presiden China, Xi Jinping setakat ini.-REUTERS