WASHINGTON, 14 April- Seorang lelaki ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat selepas disyaki cuba membakar kediaman rasmi Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro, awal pagi Ahad.
Ketika kejadian, Shapiro yang juga tokoh utama Parti Demokrat, berada di dalam rumah bersama keluarga. Mereka dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Menurut Polis Negeri Pennsylvania, api berjaya dipadamkan, namun sebahagian struktur bangunan kediaman di Harrisburg itu mengalami kerosakan teruk.
Gabenor Shapiro memaklumkan, beliau dan keluarga dikejutkan kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan oleh seorang anggota polis yang mengetuk pintu sebelum mereka dipindahkan ke tempat selamat.
Shapiro turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan insiden keganasan bermotifkan politik di negara itu dan menegaskan bahawa ia perlu dihentikan segera.
Suspek dikenali sebagai Cody Balmer, 38 tahun, didakwa menceroboh kawasan kediaman dengan memanjat pagar dan membawa bahan letupan buatan sendiri sebelum memulakan kebakaran.
Menurut Pesuruhjaya Polis Negeri, suspek sempat berada di kawasan rumah beberapa minit sebelum ditahan.
Pendakwa Daerah, Fran Chardo memaklumkan suspek bakal berdepan pelbagai pertuduhan jenayah termasuk cubaan membunuh, pembakaran terancang dan keganasan terhadap penjawat awam.
Beberapa pemimpin kanan Parti Republikan turut menyatakan kebimbangan. Naib Presiden JD Vance menyifatkan serangan itu sebagai "keganasan yang menjijikkan" manakala Peguam Negara AS, Pam Bondi menyatakan rasa lega Shapiro dan keluarganya selamat.
Shapiro, 51 tahun, pernah disenarai pendek sebagai calon Timbalan Presiden dalam kempen Kamala Harris, dan kini dilihat sebagai antara tokoh berpotensi untuk Pilihan Raya Presiden AS 2028.-AFP