fb fb fb fb fb

Helikopter terhempas di New York tidak dilengkapi perakam penerbangan – NTSB

Foto Reuters

NEW YORK, 14 April – Helikopter yang terhempas ke dalam Sungai Hudson, New York City pada Khamis lalu sehingga meragut enam nyawa, termasuk tiga kanak-kanak, disahkan tidak dilengkapi dengan perakam penerbangan, menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam Sabtu, NTSB memaklumkan tiada rakaman video atau kamera berjaya ditemui dari helikopter jenis Bell 206 tersebut, dan tiada sebarang peralatan di dalamnya yang merekodkan maklumat bagi membantu siasatan.

Pihak berkuasa termasuk penyelam dari Jabatan Polis New York (NYPD) masih meneruskan pencarian bagi bahagian penting helikopter seperti rotor utama, kotak gear, rotor ekor dan boom ekor. Beberapa komponen seperti kokpit, kabin, sirip penstabil mendatar, sirip menegak dan sebahagian boom ekor telah ditemui dan dihantar ke makmal NTSB di Washington untuk dianalisis.

Pada Ahad, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengumumkan bahawa pengendali helikopter tersebut, New York Helicopter Tours, akan menghentikan semua operasi serta-merta. FAA juga akan melancarkan semakan segera terhadap lesen serta rekod keselamatan syarikat berkenaan.

“FAA sedang menganalisis lokasi panas bagi pesawat dan helikopter di seluruh negara dan akan mengadakan panel keselamatan helikopter pada 22 April ini bagi membincangkan penemuan tersebut,” menurut kenyataan FAA di platform X.

Syarikat New York Helicopter Tours dalam laman web rasminya memaklumkan semua pertanyaan media harus dirujuk kepada FAA dan NTSB.

Sebagai sebahagian daripada siasatan, penyiasat turut meneliti dua helikopter lain yang sejenis dan mengadakan pertemuan dengan wakil New York Helicopter Charter – pengendali helikopter nahas – bagi meneliti rekod operasi, dasar keselamatan, sistem pengurusan dan latar belakang juruterbang.

Menurut Pesuruhjaya Polis New York, Jessica Tisch, helikopter tersebut berlepas sekitar jam 3 petang waktu tempatan dari sebuah pad helikopter di pusat bandar dan terbang ke arah utara menyusuri Sungai Hudson.

Selepas tiba berhampiran Jambatan George Washington, helikopter itu berpatah balik ke arah selatan namun terhempas sekitar jam 3:15 petang, dalam keadaan terbalik berhampiran Lower Manhattan, berdekatan Jersey City.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN