fb fb fb fb fb

EU tingkatkan sokongan kewangan kepada Palestin

Pesuruhjaya Eropah bagi Mediterranean, Dubravka Suica / Foto Reuters

BRUSSELS, 14 April – Kesatuan Eropah (EU) akan meningkatkan sokongan kewangannya kepada Palestin menerusi pakej tiga tahun bernilai sekitar 1.6 bilion euro (AS$1.8 bilion), kata Pesuruhjaya Eropah bagi Mediterranean, Dubravka Suica, dalam satu temu bual bersama Reuters.

Menurut Suica, pakej bantuan tersebut akan disertai dengan pelaksanaan pembaharuan institusi dalam pentadbiran Palestin, yang sering dikritik kerana rasuah dan kelemahan tadbir urus.

“Kami mahu mereka melaksanakan pembaharuan kerana tanpa pembaharuan, mereka tidak akan cukup kuat dan berwibawa untuk menjadi rakan perbincangan bukan sahaja kepada kami, tetapi juga kepada Israel,” katanya.

Kenyataan itu dibuat menjelang dialog politik peringkat tinggi pertama antara menteri luar EU dan pegawai kanan Palestin, termasuk Perdana Menteri Mohammad Mustafa, yang dijadualkan berlangsung di Luxembourg pada Isnin.

EU kini merupakan penyumbang terbesar kepada rakyat Palestin, dan para pegawainya berharap Pihak Berkuasa Palestin, yang kini mentadbir Tebing Barat, dapat suatu hari nanti mengambil alih pentadbiran di Gaza, sejurus tamatnya konflik bersenjata antara Israel dan Hamas.

Namun begitu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, setakat ini menolak cadangan untuk menyerahkan Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin, selain tidak menyokong matlamat EU untuk penyelesaian dua negara yang merangkumi penubuhan negara Palestin yang merdeka.

Menurut Suica, 620 juta euro akan diperuntukkan bagi sokongan kewangan dan pembaharuan institusi PA, 576 juta euro untuk ketahanan dan pemulihan di Tebing Barat dan Gaza, manakala 400 juta euro akan disalurkan melalui pinjaman oleh Bank Pelaburan Eropah (EIB), tertakluk kepada kelulusan badan pentadbiran bank tersebut.

Tambah beliau, purata sokongan EU kepada Pihak Berkuasa Palestin sepanjang 12 tahun lalu adalah sekitar 400 juta euro setahun.

“Kami kini melabur secara berwibawa dalam Pihak Berkuasa Palestin,” tegas Suica.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN