fb fb fb fb fb

China mahu hubungan perdagangan lebih kukuh dengan Vietnam

Presiden China Xi Jinping bercakap dengan Presiden Vietnam Luong Cuong, semasa beliau tiba untuk lawatan negara dua hari, di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi, Vietnam/ Reuters

HANOI, 14 April- Presiden China Xi Jinping menggesa hubungan yang lebih kukuh dengan Vietnam dalam rantaian perdagangan dan bekalan berikutan pengumuman tarif Amerika Syarikat (AS).

Rancangan lawatan tiga negara Asia Tenggara itu dimulakan di ibu negara Vietnam, Hanoi susulan pengumuman itu dan AS bakal mengenakan tarif sebanyak 145 peratus ke atas China.

Manakala Vietnam sedang melakukan rundingan pengurangan tarif AS ke atas negara itu pada Julai selepas moratorium global tamat, iaitu sebanyak 46 peratus.

"Kedua-dua pihak harus mengukuhkan kerjasama dalam rantaian pengeluaran dan bekalan," menurut Xi dalam artikel di Nhandan, akhbar Parti Komunis Vietnam, yang disiarkan sebelum ketibaannya pada Isnin.

Beliau juga menggesa lebih banyak perdagangan dan hubungan lebih kukuh dengan Hanoi mengenai kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi hijau.

Bagaimanapun Vietnam turut mengetatkan kawalan ke atas beberapa perdagangan dengan China untuk memastikan barangan yang dieksport ke AS dengan label "Buatan Vietnam" mempunyai nilai tambah mencukupi di negara itu.

Vietnam ialah hab perindustrian dan pemasangan utama di Asia Tenggara. Kebanyakan import adalah dari China manakala AS adalah pasaran eksport utama.

Negara itu merupakan sumber penting bagi elektronik, kasut dan pakaian bagi Amerika Syarikat.

Menurut data kastam Vietnam, dalam tiga bulan pertama tahun ini Hanoi mengimport barangan bernilai kira-kira $30 bilion dari Beijing manakala eksport ke Washington berjumlah $31.4 bilion.

Rekod itu mengesahkan trend jangka panjang import dari China hampir sepadan dengan nilai dan perubahan eksport ke Washington.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI