fb fb fb fb fb

Singapura laksana hukuman sebat 'scammer' dalam talian

Singapura mengalami kerugian lebih AS$2.8 bilion (sekitar RM13.5 bilion) akibat penipuan dalam talian

SINGAPURA, 5 November - Singapura bakal melaksanakan hukuman sebat mandatori sekurang-kurangnya enam kali terhadap pesalah penipuan dalam talian.

Hukuman itu sebagai langkah tegas menangani kegiatan sindiket yang menyebabkan kerugian besar kepada ekonomi negara itu.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri, Sim Ann, ketika membentangkan pindaan terhadap Kanun Keseksaan Singapura pada bacaan kedua di Parlimen pada Selasa.

“Kami akan memperkenalkan hukuman sebat mandatori terhadap penipu,” katanya sambil menjelaskan pesalah yang menipu melalui komunikasi jarak jauh akan dikenakan sekurang-kurangnya enam sebatan rotan.

Menurut Sim, sejak tahun 2020 hingga separuh pertama 2025, Singapura mengalami kerugian lebih AS$2.8 bilion (sekitar RM13.5 bilion) akibat penipuan dalam talian dengan 190,000 kes dilaporkan dalam tempoh berkenaan.

Beliau turut menegaskan hukuman sama akan dikenakan terhadap ahli dan perekrut sindiket penipuan, manakala individu yang membantu kegiatan itu seperti “money mule” (keldai akaun) yang menawarkan akaun bank atau kad SIM – boleh dikenakan sebat hingga 12 kali.

“Sindiket ini menggerakkan sumber besar untuk menjalankan dan mengaut keuntungan daripada penipuan, dan mereka mempunyai tahap kesalahan tertinggi,” katanya.

Dalam usaha membendung kegiatan itu, Singapura turut memperkukuh pendidikan awam melalui penubuhan talian hotline nasional dan aplikasi ScamShield yang membolehkan pengguna menyemak panggilan, mesej dan laman web mencurigakan.

Masalah penipuan dalam talian turut mendapat perhatian oleh bekas Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang pernah mendedahkan beliau sendiri menjadi mangsa apabila barangan yang dipesan secara dalam talian tidak diterima.

Kegiatan penipuan siber di rantau Asia Tenggara dilaporkan semakin serius dengan kemunculan pusat operasi penipuan di Kemboja dan Myanmar.

Ini termasuk yang dikaitkan dengan taikun British-Kemboja, Chen Zhi, pengasas Prince Holding Group, yang kini disiasat atas tuduhan mengendalikan kem buruh paksa dan skim penipuan kripto berskala besar. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN