fb fb fb fb fb

Taiwan rampas aset RM698 juta milik Prince Holding Group

Pengasas Prince Holding Group, Chen Zhi didakwa menjalankan aktiviti jenayah antarabangsa

TAIPEI, 5 November – Seramai 25 individu ditahan dan aset bernilai lebih AS$145 juta (kira-kira RM698 juta) dirampas pihak berkuasa Taiwan selepas dikaitkan dengan Prince Holding Group, sebuah konglomerat Kemboja yang pengasasnya didakwa mengendalikan sindiket buruh paksa rentas negara.

Menurut Biro Siasatan Kementerian Kehakiman Taiwan, pihaknya melakukan serbuan di 47 lokasi termasuk kediaman ahli kanan dan sekutu kumpulan itu di sekitar Taipei pada Selasa.

Rampasan membabitkan 18 hartanah termasuk 11 unit pangsapuri mewah, 26 kenderaan mewah, serta puluhan akaun bank dengan jumlah keseluruhan NT$4.5 bilion (AS$145 juta).

“Seramai 25 individu utama telah ditahan dalam siasatan berterusan ini,” menurut kenyataan biro berkenaan.

Serbuan itu susulan tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) bulan lalu yang mendedahkan dakwaan terhadap pengasas Prince Holding Group, Chen Zhi, kerana menjalankan aktiviti jenayah antarabangsa yang berselindung di sebalik perniagaan sah seperti hartanah, kewangan dan pengguna.

Hasil kegiatan itu dipercayai dilaburkan semula melalui operasi perjudian dan perlombongan mata wang kripto milik kumpulan berkenaan.

Chen kini berdepan tuduhan penipuan dan pengubahan wang haram membabitkan Bitcoin bernilai sekitar AS$15 bilion, selain aset dan perniagaannya dibekukan oleh AS dan United Kingdom.

Kedua-dua negara turut menuduh Chen dalang sindiket buruh paksa di Kemboja yang menempatkan ribuan pekerja dalam kawasan berpagar tinggi dan dikawal ketat, yang mana mangsa dipaksa melakukan penipuan pelaburan kripto “pig butchering”.

Menurut laporan media, Chen dilahirkan di China dan memiliki dua kewarganegaraan iaitu British dan Kemboja.

Dalam perkembangan lain, polis Singapura minggu lalu turut merampas aset bernilai AS$115 juta yang dikaitkan dengan Chen. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN