WASHINGTON, 5 November – Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Dick Cheney, yang terkenal sebagai tokoh berpengaruh semasa pentadbiran Presiden George W. Bush, meninggal dunia pada usia 84 tahun.
Cheney meninggal dunia akibat komplikasi pneumonia serta penyakit jantung dan vaskular.
Beliau berkhidmat selama dua penggal antara 2001 hingga 2009, memainkan peranan besar dalam peperangan selepas serangan 11 September, termasuk keputusan AS menyerang Afghanistan dan Iraq.
Bush menyifatkan Cheney antara penjawat awam terbaik generasinya dan individu yang diperlukan ketika berada di White House.
Dilahirkan di Lincoln, Nebraska pada 30 Januari 1941, Cheney membesar di Wyoming dan pernah menjadi Setiausaha Pertahanan AS (1989–1993) di bawah pentadbiran George H.W. Bush, ketika Perang Teluk 1991.
Sebagai Naib Presiden, beliau dikenali dengan pendekatan konservatif dan tegas, serta pengaruh besar dalam dasar luar dan keselamatan negara.
Ini termasuk mempertahankan penggunaan kaedah soal siasat keras terhadap tahanan pengganas.
Menjelang akhir hayatnya, Cheney yang sebelum ini tokoh kuat Republikan, mengejutkan ramai apabila menolak Donald Trump dan mengundi calon Demokrat Kamala Harris pada pilihan raya 2024.
Sepanjang kariernya, Cheney mengalami lima serangan jantung dan beberapa pembedahan jantung, namun kekal aktif dalam politik hingga ke akhir hayatnya. - AFP