fb fb fb fb fb

Konvoi bantuan kemanusiaan terus masuk ke Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata

Trak bantuan menunggu di sepanjang jalan selepas memasuki Gaza melalui lintasan Kissufim di selatan Deir al-Balah/Foto AFP

GAZA, 5 November - Trak bantuan kemanusiaan terus memasuki Semenanjung Gaza yang dikepung pada Selasa di bawah perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Antara konvoi yang melalui sempadan Rafah termasuk penghantaran daripada pertubuhan bantuan Türkiye.

Konvoi bantuan yang kebanyakannya membawa bekalan makanan bergerak melalui beberapa lintasan termasuk Kerem Shalom dan Kissufim bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa serangan Israel ke atas Gaza yang berlarutan selama dua tahun.

Perjanjian gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 10 Okt di Semenanjung Gaza, berdasarkan pelan berfasa yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Fasa pertama merangkumi pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran bagi tahanan Palestin.

Pelan itu turut merangkumi usaha membina semula Gaza serta mewujudkan mekanisme pentadbiran baharu tanpa penglibatan Hamas.

Menurut pihak berkuasa Palestin, Israel telah membunuh hampir 69,000 orang - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - serta mencederakan lebih 170,000 yang lain dalam serangan di Gaza sejak Okt 2023.

Sejak gencatan senjata mula berkuat kuasa, jumlah korban dan cedera masing-masing meningkat kepada 240 dan 607 orang.

Sekurang-kurangnya 511 mayat turut ditemukan setakat ini. -- BERNAMA-ANADOLU

GRACE AISYAH KEDAYAN