(Foto fail)
SINGAPURA, 9 Februari- Singapura akan beralih daripada fasa akut pandemik COVID-19 susulan perkembangan jangkitan virus berkenaan yang kekal stabil sejak beberapa bulan lepas, sekali gus beberapa sekatan berkaitan penyakit itu akan ditarik balik.
Menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF), keadaan bertambah baik walaupun perjalanan meningkat sepanjang tempoh cuti akhir tahun.
Musim sejuk di Hemisfera Utara dan peralihan China daripada dasar Sifar COVID juga tidak memberi impak kepada keadaan jangkitan di republik itu.
Justeru, MTF berkata, beberapa lagi sekatan akan ditarik balik dan norma baharu COVID-19 endemik dapat diwujudkan.
MTF bagaimanapun memberi amaran bahawa virus itu akan terus berkembang dan Singapura akan melalui gelombang jangkitan baharu dari semasa ke semasa dengan norma baharu akan mengalami siri ubah suai mengikut kesesuaian.
Perubahan status dijangka akan diumumkan Isnin depan. -AFP
(Foto hiasan)