SYDNEY, 13 Disember- Bandar Cairns dan Port Douglas di timur laut Australia bersiap sedia hari ini untuk ketibaan Taufan Tropika Jasper, yang dijangka membawa angin kencang dan banjir kilat.
Ribut Kategori Dua itu dijangka mendarat sekitar jam 6:00 petang waktu tempatan pada hari Rabu (0800 GMT), namun dilaporkan angin kencang telah melanda beberapa bandar.
Kerajaan negeri Queensland berkata, kira-kira 8,000 rumah sudah terputus bekalan elektrik, manakala polis telah mula menutup jalan utama yang dijangka dilanda banjir.
Pakar meteorologi berkata Siklon Tropika Jasper telah bergerak perlahan-lahan merentasi Laut Karang, dengan taufan dijangka melanda pantai timur Australia kira-kira jam 1 petang waktu tempatan esok.
Ia berkemungkinan membawa banjir kilat dan angin dengan kelajuan sehingga 140 kilometer (87 batu) sejam, kata peramal Laura Boekel dari Biro Meteorologi kerajaan.
"Kami sudah mula melihat kesan taufan ini dan itu akan menjadi lebih teruk apabila kita mengharungi hari ini. Risiko utama hari ini ialah banjir kilat," katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Steven Miles berkata beberapa bahagian di negeri itu sudah pun mengalami "keadaan siklon".
Beliau berkata banjir yang berbahaya dan mengancam nyawa boleh berlarutan untuk "hari-hari mendatang".
Pihak berkuasa memberi amaran tentang kerosakan pada pagar, bumbung dan harta benda lain dan menggesa penduduk untuk bersiap siaga sebelum ribut tiba.
Dalam pada itu, Menteri Tenaga Negara, Mick de Brenni berkata bekalan elektrik mula diputuskan lewat kelmarin sebagai langkah ‘pencegahan’- yang akan mengehadkan kerosakan pada infrastruktur dan membolehkan kuasa dipulihkan dengan lebih cepat selepas ribut itu berlalu. – AFP