TOKYO, 13 Disember- Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dijangka mengumumkan pemecatan empat menteri pada Rabu susulan skandal kewangan parti, kata laporan media.
Antara yang bakal dipecat termasuk Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu matsuno yang merupakan 'orang kanan' Kishida dan Menteri Ekonomi, Industri dan Perdagangan, Yasutoshi Nishimura, tambah laporan tersebut.
Selain itu, beberapa menteri seperti Menteri Dalam Negeri, Junji Suzuki dan Menteri Pertanian, Ichiro Miyashita, bersama lima timbalan menteri antara yang tersenarai untuk dipecat.
Populariti Kishida, 66 tahun merundum sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2021 dan dijangka mengumumkan perkara berkenaan pada satu sidang media yang dijadualkan pada pukul 6:15 waktu tempatan.
Kesemua mereka yang akan dipecat adalah daripada penyokong terbesar dalam Parti Liberal Demokratik (LDP), yang telah mentadbir Jepun tanpa gangguan selama beberapa dekad.
Pendakwa raya dilaporkan sedang menyiasat dakwaan terdapat kira-kira 500 juta yen atau (AS$3.4 juta) dalam bentuk sogokan diberikan kepada ahli politik yang diketuai oleh bekas perdana menteri mendiang Shinzo Abe.
Matsuno, yang juga ketua jurucakap kerajaan, pada Rabu enggan memberikan butiran lanjut tetapi berkata Kishida akan "mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memulihkan kepercayaan rakyat.
"Perdana Menteri Kishida berkata kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan goyah akibat pelbagai isu yang telah diketengahkan mengenai kutipan dana politik," kata Matsuno kepada pemberita.
Selepas penutupan sesi parlimen semasa pada Rabu, pendakwa raya akan mempercepatkan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dengan rancangan untuk menemu bual berpuluh-puluh ahli parlimen pro Abe, kata harian Yomiuri.
Skandal kewangan itu dilaporkan dengan meluas awal minggu ini kepada pihak dalam LDP yang diketuai oleh Kishida.
Kishida memberitahu pemberita bahawa dia telah mengarahkan pihaknya bagi menyiasat dakwaan berkenaan serta menyemak semula laporan dana politiknya jika perlu.
"Saya akan menangani isu itu berdasarkan kepercayaan saya sambil bekerjasama dengan parti pemerintah," kata Kishida pada Rabu ketika ditanya mengenai usul itu.-AFP