fb fb fb fb fb

Mexico beri kebenaran kepada Tesla dirikan kilang pembuatan EV

FOTO REUTERS

MEXICO CITY, 13 Disember - Pengeluar kenderaan elektrik, Tesla telah menerima permit penggunaan tanah daripada Kementerian Alam Sekitar Mexico bagi membina sebuah kilang komponen bagi membina kereta elektrik di negeri Nuevo Leon, utara negara berkenaan pada selasa.

Kerajaan Negeri Nuevo Leon dalam satu kenyataan berkata tanah tersebut berkeluasan 261 hektar.

Kerajaan Nuevo Leon turut menganggarkan kos pembinaan kilang berkenaan melebihi AS$5 bilion, namun Tesla tidak berkongsi ramalan berkaitan kos dan modal keseluruhan projek.

Tesla pada Mac lalu mengumumkan rancangan pembinaan kilang baharu di Mexico tanpa menyediakan tempoh masa pembinaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk pada Oktober bahawa dia tidak pasti tentang rancangan membina sebuah kilang di Mexico memandangkan situasi ekonomi yang tidak menentu.

Kerajaan negeri Nuevo Leon berkata mereka bersedia membelanjakan lebih AS$130 juta bagi tujuan infrastruktur bagi menyokong pembinaan kilang berkenaan.

Nuevo Leon dilaporkan bersetuju membina stesen kuasa elektrik, saluran paip gas, jalan raya dan perkhidmatan bagi air dan pembentungan.

Gabenor Negeri Nuevo Leon, Samuel Garcia berkata pembinaan kilang komponen ("Gigafactory) berkenaan bakal disiapkan dalam tempoh dua tahun dengan kerjasama Tesla dan pihak pembekal menelan belanja sebanyak AS$15 bilion.

Mexico telah menggembar-gemburkan projek Tesla sebagai bukti trend semakin berkembang apabila syarikat berusaha untuk memindahkan pengeluaran dari Asia dan menubuhkan operasi yang lebih dekat dengan Amerika Syarikat.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD