fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak Komuniti Eropah tanpa Rusia, Belarus

(Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Olaf Scholz bertemu Presiden Serbia dan Presiden
Kosovo semasa sidang kemuncak sulung "Komuniti Politik Eropah" yang menghimpunkan 44 negara/AFP)

PRAGUE, 7 Oktober- Pemimpin dari Ukraine, Britain dan Turkiye menyertai rakan sejawatan Kesatuan Eropah (EU) mereka untuk sidang kemuncak sulung "Komuniti Politik Eropah".

Perhimpunan di kompleks Istana Prague yang megah itu menghimpunkan kumpulan berbeza 44 negara dari Caucasus di tenggara hingga Iceland di barat laut.

Format percubaan cetusan idea Presiden Perancis Emmanuel Macron disebut sebagai "platform untuk penyelarasan politik", tetapi tidak banyak hasil konkrit dicapai di sebalik gambar pemimpin yang berhimpun.

"Ia pertama sekali menghantar mesej perpaduan," kata Macron.

"Objektifnya pertama adalah untuk berkongsi pandangan tentang situasi yang menjejaskan Eropah, juga untuk membina strategi bersama," tambah beliau.

"Jika anda melihat kehadiran di sini, anda melihat kepentingannya," kata Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo.

"Seluruh benua Eropah ada di sini, kecuali dua negara, Belarus dan Rusia. Jadi ia menunjukkan betapa terpencilnya kedua-dua negara itu," katanya.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menerusi rakaman video sekali lagi menggesa Eropah supaya menghukum Moscow dan meningkatkan bekalan senjata.

"Di sini dan sekarang, saya menggesa anda untuk membuat keputusan asas. Satu keputusan tentang tujuan untuk komuniti kita ini. Untuk format kita ini," kata Zelensky.

"Kami, pemimpin Eropah, boleh menjadi pemimpin keamanan. Komuniti politik Eropah kami boleh menjadi komuniti keamanan Eropah."

Terdapat keraguan terhadap tujuan acara sehari itu kerana terdapat perselisihan faham yang mendalam malah konflik terbuka dalam kalangan beberapa peserta.

Moldova akan menjadi tuan rumah edisi sidang kemuncak seterusnya, disusuli Sepanyol dan Britain. -AFP

(Pemimpin Eropah mengambil gambar berkumpulan pada sidang kemuncak "Komuniti Politik
Eropah"yang julung kali diadakan/AFP)

 

Media Baharu