fb fb fb fb fb

Rusia negara pertama iktiraf pemerintahan Taliban

Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi dan Duta Rusia ke Afghanistan, Dmitry Zhirnov./AFP

KABUL, 3 Julai – Rusia menjadi negara pertama mengiktiraf pemerintahan Taliban di Afghanistan yang kembali ke tampuk kuasa pada 2021.

Pengumuman itu dibuat selepas pertemuan antara Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi dan Duta Rusia ke Kabul, Dmitry Zhirnov.

Dalam kenyataan video yang dimuat naik ke platform X, Muttaqi menyifatkan langkah Rusia itu sebagai keputusan berani yang membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala.

Menurut jurucakap Kementerian Luar Afghanistan, Zia Ahmad Takal, Rusia adalah negara pertama yang secara rasmi mengiktiraf Amiriah Islam.

"Pengiktirafan ini dilihat titik permulaan penting bagi Taliban yang telah lama berusaha mendapatkan legitimasi antarabangsa, selain menarik pelaburan asing untuk membina semula negara itu yang rosak akibat lebih empat dekad konflik bersenjata," katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar Rusia berkata, pengiktirafan itu mendorong kerjasama dua hala yang lebih produktif dalam pelbagai bidang termasuk tenaga, pengangkutan, pertanian dan infrastruktur.

Presiden Rusia, Vladimir Putin sebelum ini menyifatkan Taliban sebagai sekutu dalam memerangi pengganasan dan merancang menjadikan Afghanistan sebagai hab transit gas ke Asia Tenggara.

Langkah Rusia itu dijangka menjadi pencetus kepada negara lain untuk mempertimbangkan hubungan rasmi dengan kerajaan Taliban. - AFP

KHAIRUL AMRI BIN YASIN