fb fb fb fb fb

Feri karam: Kebakaran enjin, cuaca buruk dipercayai punca

Operasi SAR 30 penumpang hilang tragedi feri karam berhampiran Bali diperhebat./REUTERS

BALI, 4 Julai – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 30 individu yang masih hilang dalam insiden feri karam berhampiran Bali diteruskan.

Ketua Agensi Penyelamat Nasional Indonesia, Mohammad Syafii berkata, operasi SAR yang ditangguh semalam akibat cuaca buruk disambung semula dengan kekuatan lebih 160 anggota termasuk tentera dan polis.

"Pasukan SAR kini menumpukan pencarian di permukaan laut tetapi tidak menolak kemungkinan terdapat mangsa yang terperangkap di dalam bangkai feri," katanya kepada media tempatan.

Faktor kebakaran enjin dan cuaca buruk kini sedang diteliti sebagai punca kejadian.

Feri tersebut membawa 65 orang termasuk 12 anak kapal karam hanya 30 minit selepas berlepas dari Pelabuhan Ketapang pada Rabu.

Feri juga memuatkan 22 kenderaan, termasuk 14 trak.

Setakat ini, enam kematian disahkan, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun bersama ibunya.

Menurut saksi, feri senget secara tiba-tiba selepas dipukul ombak besar menyebabkan kenderaan berat di atas dek berganjak dan menjejaskan kestabilan feri.

Dalam tempoh lima minit, feri tenggelam sepenuhnya, memaksa ramai penumpang terjun ke laut dalam keadaan panik. - REUTERS

KHAIRUL AMRI BIN YASIN