(Penunjuk perasaan memegang plakad semasa mereka mengambil bahagian
dalam demonstrasi antikerajaan di Colombo, Sri Lanka, 25 September 2022/AFP)
GENEVA, 7 Oktober- Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan resolusi yang menggesa Sri Lanka supaya menangani krisis ekonominya dan mendakwa pegawai awam yang rasuah.
Badan tertinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu mengundi 20 kepada tujuh, untuk mengekalkan tumpuannya di negara kepulauan Asia Selatan itu.
Resolusi itu menggesa kerajaan Sri Lanka "supaya menangani krisis ekonomi semasa, termasuk menyiasat dan jika perlu, mendakwa pelaku rasuah, termasuk orang awam dan bekas pegawai awam".
Majlis turut menyuarakan kebimbangan tentang impak hak asasi manusia akibat krisis ekonomi, keganasan terhadap penunjuk perasaan aman dan menggesa "proses akauntabiliti yang menyeluruh digerakkan" untuk semua pencabulan dan penyalahgunaan hak.
Resolusi 19 perkara itu dikemukakan oleh 37 negara, kebanyakannya negara Eropah.
Menteri Luar Sri Lanka Ali Sabry memberitahu dewan di Geneva bahawa Colombo "secara mutlak menolak" teks itu.
"Kami membantah sekeras-kerasnya draf resolusi yang melafazkan hal-hal dasar domestik, ekonomi dan kewangan," katanya. -AFP
(Polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan antikerajaan
semasa tunjuk perasaan di Colombo, Sri Lanka, 24 September 2022/File AFP)