JAKARTA, 30 April- Indonesia berdepan kemelut apabila perlu menjemput Presiden Russia, Vladimir Putin dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menghadiri Sidang Kemuncak G20.
Selaku tuan rumah kali ini, Jakarta berdepan tekanan Amerika Syarikat untuk mengecualikan Rusia daripada sidang berkenaan susulan kekejaman yang dibuat ke atas Ukraine.
Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) bagaimanapun menegaskan Indonesia perlu kekal untuk tidak berat sebelah.
Beliau turut mengharapkan kata sepakat antara kedua hala dapat dicapai sekali gus membenarkan penyertaan negara-negara terlibat.
Jokowi telah bertemu dengan Presiden Rusia pada Khamis lalu,dan berkata Putin berterima kasih kepada Indonesia kerana mengundangnya ke acara berkenaan.
Namun ketika ini masih terlalu awal untuk mengesahkan penyertaan Rusia.
(Presiden Indonesia, Joko Widodo/ AFP)
Dalam pada itu, Zelensky berkata melalui ciapan di Twitter bahawa beliau turut dijemput ke sidang kemuncak oleh Indonesia pada Rabu menerusi panggilan telefon daripada Jokowi.
Setiausaha Akhbar Biden, Jen Psaki di Washington turut memaklumkan pihaknya berpendirian teguh untuk tidak melibatkan Rusia ke sidang berkenaan sebaliknya amat mengalu-alukan Ukraine.
Namun, beliau tidak mengulas sama ada AS akan hadir ke mesyuarat itu atau tidak.
Indonesia cuba bersikap neutral sama seperti kebanyakan negara ekonomi. -AFP