BEIJING, 1 November – Hab teknologi utama China di selatan negara itu, Shenzhen, akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-33 pada November 2026, umum Presiden China, Xi Jinping, pada Sabtu.
Dalam ucapan pada majlis penyerahan rasmi APEC, Xi menegaskan kepentingan membina komuniti Asia-Pasifik yang kukuh, sambil menekankan bahawa kemakmuran dan pembangunan jangka panjang rantau ini hanya dapat dicapai melalui visi bersama.
“China bersedia memanfaatkan peluang sebagai penganjur mesyuarat tahun hadapan untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam membina komuniti Asia-Pasifik, serta memacu pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi di rantau ini,” kata Xi.
Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, dalam ucapannya menyatakan kerajaan Republik Korea akan terus berusaha memperkukuh keamanan antara Korea Selatan dan Korea Utara.
Sidang kemuncak tahunan forum APEC turut menghasilkan beberapa dokumen penting, termasuk Deklarasi Pemimpin APEC Gyeongju 2025, Inisiatif Kecerdasan Buatan APEC, dan Rangka Kerja APEC bagi Kerjasama Mengenai Perubahan Struktur Penduduk, menurut laporan agensi berita rasmi China, Xinhua. -REUTERS