fb fb fb fb fb

Wabak selesema burung di Jerman kian menular, 10 negeri terjejas

FOTO HIASAN / REUTERS

HAMBURG, 1 November - Wabak selesema burung yang teruk melanda Jerman terus merebak, dengan ladang ternakan komersial di 10 daripada 16 negeri persekutuan kini terjejas, menurut angka rasmi pada Jumaat.

Sebanyak 48 ladang dilanda wabak selesema burung sejak awal September, kata Institut Friedrich Loeffler (FLI), yang bertanggungjawab memantau kesihatan haiwan.

Angka terkini menunjukkan bahawa selesema burung telah disahkan di tiga ladang lain sejak Khamis.

Semua ternakan di ladang yang terjejas telah ditakai untuk mencegah virus daripada merebak lebih lanjut, membabitkan 525,000 haiwan setakat ini.

Jurucakap FLI menggesa orang ramai berhati-hati, sambil memberi amaran kes boleh meningkat disebabkan oleh sifat dinamik wabak.

Negeri Lower Saxony mencatatkan kes terbanyak setakat ini, dengan jangkitan yang disahkan di 17 ladang ternakan.

Ini diikuti oleh negeri-negeri timur Brandenburg dengan lapan ladang terjejas dan enam ladang di Mecklenburg-Vorpommern.

Varian H5N1 disahkan secara rasmi dalam 248 bangkai burung liar, walaupun bilangan haiwan yang mati akibat wabak itu jauh lebih tinggi, kata FLI.- BERNAMA-dpa

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE