SHANGHAI, 1 Disember- Bandar raya metropolis timur China, Shanghai, menyambut kumpulan pertama seramai 26 rakyat Jepun yang tiba di bawah dasar bebas visa baharu pada Sabtu, menurut Kastam Shanghai pada Ahad, lapor Xinhua.
Penumpang yang menaiki penerbangan JL891 dari Tokyo itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong di sini dan menyelesaikan urusan kastam dalam masa 30 minit, menurut pihak kastam.
Bermula dari 30 November 2024 hingga 31 Disember 2025, pemegang pasport biasa dari sembilan negara iaitu Bulgaria, Romania, Croatia, Montenegro, Macedonia Utara, Malta, Estonia, Latvia dan Jepun -- layak memasuki China tanpa visa secara percubaan.
Menurut seorang pegawai kastam, Jepun dan Shanghai telah menjalin hubungan ekonomi, perdagangan dan pertukaran personel yang lama, dan dasar bebas visa baharu ini dijangka akan meningkatkan jumlah pelancong Jepun pada masa depan.
Data daripada kastam menunjukkan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong di Shanghai mengendalikan lebih sembilan juta penumpang asing yang masuk dan keluar dari 1 Januari hingga 30 November tahun ini, iaitu 1.7 kali ganda lebih banyak berbanding tempoh yang sama tahun lepas. -BERNAMA-XINHUA