CARACAS, 2 Disember- Puluhan rakyat Venezuela berhimpun memenuhi jalan raya di Caracas yang menuntut pembebasan tahanan yang ditangkap dalam protes terhadap pemilihan semula Presiden Nicolas Maduro yang menjadi pertikaian.
Perhimpunan itu dianjurkan oleh ahli politik pembangkang, Maria Corina Machado.
Beliau turut menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang sedang menyiasat dakwaan jenayah kemanusiaan di Venezuela, selain mendesak pembebasan lebih daripada 1,900 tahanan politik seperti yang dinyatakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Foro Penal.
Kebanyakan tahanan tersebut ditangkap dalam protes yang tercetus selepas pemilihan semula Maduro pada Julai lalu untuk penggal ketiga selama enam tahun.
Kemenangan Maduro diisytiharkan oleh pihak berkuasa negara yang dianggap setia kepadanya. Bagaimanapun, pihak pembangkang mendakwa pilihan raya itu dicemari penipuan.
Machado telah bersembunyi sejak pilihan raya itu kerana takut ditangkap. Manakala calon presiden pembangkang, Edmundo Gonzalez Urrutia, melarikan diri ke Sepanyol.
"Masyarakat antarabangsa perlu bertindak," kata seorang wanita pada protes hari Ahad itu kepada AFP. Wajahnya ditutup dengan topeng yang dihiasi gincu merah, simbol yang mewakili darah 28 orang yang terbunuh dalam kekacauan selepas pilihan raya.
"Saya penat hidup di negara diktator seperti ini. Saya mahu bebas," kata seorang penunjuk perasaan, yang mahu namanya dirahsiakan kerana bimbang akan dipenjarakan.
Demonstrasi sama juga diadakan di beberapa bandar lain di dunia, termasuk Washington, Madrid, dan Buenos Aires.
Minggu lalu, Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas 21 pegawai kanan keselamatan dan Kabinet Venezuela, menuduh mereka terlibat dalam kempen penindasan selepas pemilihan semula Maduro.
Washington dan G7 sebelumnya telah mengiktiraf calon pembangkang, Urrutia sebagai pemenang yang sah dalam pilihan raya pada Julai. Ia satu tindakan yang membangkitkan kemarahan di Caracas.-AFP