LONDON, 2 Disember- Britain akan menyediakan bantuan kemanusiaan tambahan sebanyak £19 juta (AS$24 juta) kepada Gaza.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pembangunan Antarabangsa Anneliese Dodds menerusi satu kenyataan.
Menerusi kenyataan itu, beliau turut menggesa Israel memberikan akses yang lebih luas, menjelang satu persidangan antarabangsa mengenai konflik itu.
"Penduduk Gaza sangat memerlukan makanan dan tempat perlindungan ketika musim sejuk yang semakin hampir", katanya dalam kenyataan, ketika memulakan lawatan tiga hari ke rantau itu, termasuk menghadiri persidangan antarabangsa di Kaherah hari ini mengenai keperluan bantuan di Gaza.
"Persidangan di Kaherah akan memberi peluang untuk menghimpunkan suara-suara penting dalam satu ruang dan mengemukakan penyelesaian jelas kepada krisis kemanusiaan," tambahnya.
"Israel mesti bertindak segera untuk memastikan akses bantuan tanpa halangan ke Gaza", katanya.
Selepas menghadiri persidangan di Kaherah, beliau dijangka melawat wilayah Palestin dan Israel.
Mengenai pembiayaan baharu tersebut, sebanyak £12 juta untuk Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) dan Program Makanan Dunia (WFP), serta £7 juta untuk agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA), menurut kenyataan itu.
Britain menyatakan komitmen untuk membelanjakan sejumlah £99 juta tahun ini untuk bantuan kemanusiaan kepada wilayah Palestin, menurut kerajaan.
Sementara itu, UNRWA mengumumkan pada Ahad bahawa agensi itu telah menghentikan penghantaran bantuan melalui persimpangan Kerem Shalom antara Israel dan Gaza atas faktor keselamatan.
Menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas, serangan berterusan Israel terhadap penduduk Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 44,429 orang, kebanyakannya orang awam.-AFP