fb fb fb fb fb

Shanghai lapor tiga kes kematian COVID-19 pertama sejak sekatan pergerakan dikuatkuasakan

SHANGHAI, 18 April - Shanghai hari ini melaporkan tiga kes kematian akibat COVID-19, pengumuman rasmi pertama kematian akibat wabak itu sejak sekatan pergerakan dikuatkuasakan selama berminggu-minggu. Ketiga-tiganya warga emas.

Sejak Mac, beberapa sekatan telah menyebabkan kebanyakan daripada 25 juta penduduk terkurung di dalam atau perkarangan rumah, dengan jumlah kes harian kerap melebihi 25,000.

"Keadaan mereka merosot menjadi kes teruk selepas dimasukkan ke hospital, dan meninggal dunia selepas semua usaha untuk memulihkan mereka terbukti tidak berkesan," menurut kenyataan Majlis Bandar Raya Shanghai yang dimuat naik ke akaun media sosial rasmi.

(Foto fail)

Kenyataan itu memaklumkan, dua daripada yang maut adalah wanita berusia 89 dan 91 tahun, manakala yang ketiga adalah lelaki berusia 91 tahun.

22,248 kes harian diumumkan hari ini.

Walaupun agak rendah berbanding penularan global, angka itu melanjutkan lagi trend semasa yang menyaksikan puluhan ribu kes harian, yang kebanyakannya asimtomatik.

Sebagai tindak balas, pihak berkuasa telah menggandakan pendekatan toleransi sifar Beijing terhadap virus itu, berikrar untuk meneruskan sekatan pergerakan yang membebankan dan mengasingkan sesiapa yang diuji positif -- walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan.

Penduduk Shanghai salah satu bandar terkaya dan paling kosmopolitan di China mengeluh kerana diletak bawah sekatan.

Ramai yang mengadu tentang kekurangan makanan selain kuarantin dan penguatkuasaan yang berat. -AFP

Media Baharu