(Anggota bomba cuba memadamkan kebakaran di bangunan kediaman berikutan pengeboman di tengah bandar Kharkiv/AFP)
KHARKIV, 18 April - Sekurang-kurangnya lima orang maut manakala 13 lagi cedera dalam serangan yang dilancarkan tentera Rusia di Kharkiv, bandar kedua terbesar di timur laut Ukraine.
Ketua Jabatan Kesihatan Daerah Kharkiv, Maksym Khaustov, mengesahkan kematian tersebut menyusuli beberapa serangan yang menurut wartawan AFP di tempat kejadian menyebabkan kebakaran di beberapa kawasan di bandar itu.
Bumbung bangunan juga rosak teruk dalam serangan ke atas kawasan perumahan di tengah bandar itu.
Kereta bomba bergegas ke semua kawasan bagi memadam kebakaran di tingkat atas bangunan yang terkena serangan peluru berpandu tentera Rusia.
(Anggota bomba memadam kebakaran di tingkat atas bangunan yang diserang peluru berpandu Russia di bandar Kharkiv, Ukraine/AFP)
Serangan itu mencetuskan rasa cemas di jalan raya, dengan penduduk melarikan diri manakala kereta bergegas meninggalkan tempat kejadian.
Wartawan AFP melaporkan lima kebakaran manakala seorang penduduk setempat berkata beliau terdengar antara enam hingga lapan serangan peluru berpandu.
Sejak berundur dari kawasan utara untuk menawan ibu kota Kiev, Kremlin memperhebatkan serangan terhadap bahagian timur Ukraine, termasuk Kharkiv yang terletak hanya 21 kilometer dari sempadan Russia.
Pada Jumaat lalu, serangan terhadap kawasan kediaman di bandar itu dilaporkan meragut 10 nyawa manakala dua orang lagi maut akibat serangan tentera Rusia Sabtu lalu. - AFP