fb fb fb fb fb

Setelah dua tahun, New Zealand longgarkan peraturan ketat COVID-19 minggu ini.

WELLINGTON, 23 Mac- New Zealand akan melonggarkan peraturan ketat COVID-19 minggu ini kerana jumlah kes telah memuncak dan penduduk mempunyai tahap imuniti yang tinggi.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern berkata, had bilangan orang ramai di luar akan dibatalkan lewat Jumaat, membolehkan acara sukan dan konsert diadakan tanpa had jumlah penonton.

Beliau berkata pas vaksin dan kod imbasan tidak lagi diwajibkan mulai 4 April, begitu juga kebanyakan peraturan vaksin lain.

Arahan supaya setiap pekerja perlu mendapatkan vaksin atau berdepan tindakan dipecat juga digugurkan.

Ardern berkata peraturan vaksin untuk polis, tentera dan sektor pendidikan juga akan dimansuhkan, meski mereka akan kekal dalam bidang penjagaan kesihatan dan bekerja di sempadan negara.

"Ini bukan penamat, tetapi merupakan permulaan baharu," kata Ardern sambil mengakui COVID-19 akan kekal.

Sehingga kini, terdapat lebih 500,000 kes COVID-19 dilaporkan di New Zealand dan pakar menjangkakan jumlah sebenar mungkin lebih tinggi dan mencecah sehingga 1.7 juta.

"95 peratus rakyat New Zealand telah diberi vaksin lengkap, bermakna kita kini mempunyai tahap imuniti kolektif yang tinggi," katanya lagi.

(Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern / Foto AFP)

Pengumuman itu dibuat seminggu selepas Ardern menggariskan rancangan untuk membuka sempadan New Zealand lebih awal daripada yang dijadualkan.

New Zealand mendapat perhatian dunia apabila berjaya mengekang penularan COVID-19 dalam komuniti untuk tempoh yang lama semasa pandemik itu melanda.

Namun gelombang baharu susulan jangkitan varian Omicron menyebabkan hampir 21,000 kes baharu direkodkan pada Selasa lepas.

Bagaimanapun, susulan tahap vaksinasi yang tinggi dalam kalangan rakyat, hanya terdapat 177 kematian direkodkan dalam populasi lima juta penduduk.

"Walaupun kami telah berjaya, ia adalah sesuatu yang sukar.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada warga New Zealand atas pengorbanan besar yang telah mereka lakukan sejak dua tahun lalu," kata Ardern.

Sementara itu beliau menafikan tindakan tersebut dibuat susulan tunjuk perasaan di Wellington yang berakhir dengan rusuhan pada awal bulan lalu ketika polis mengalihkan kem antivaksin yang didirikan di luar parlimen selama tiga minggu.- AFP

Media Baharu