(Gambar satelit menunjukkan bangunan terbakar di Mariupol, Ukraine/AFP)
BRUSSELS, 23 Mac - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dijemput untuk berucap dalam sidang kemuncak khas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), esok bagi membincangkan pencerobohan Rusia.
Menurut seorang pegawai NATO, ia memberi peluang kepada negara pakatan itu mendengar secara langsung daripada Zelensky mengenai situasi buruk yang dihadapi rakyat Ukraine akibat serangan Rusia.
"Presiden Zelensky dijemput untuk berucap pada sidang kemuncak NATO melalui panggilan video.
"Ini akan menjadi peluang bagi pemimpin sekutu untuk mendengar secara langsung daripada Presiden Zelensky mengenai situasi buruk yang dihadapi rakyat Ukraine kerana pencerobohan Rusia," kata pegawai itu.
(Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky/AFP)
Jurucakap Zelensky, Serhiy Nykyforov turut mengesahkan pemimpin Ukraine itu akan mengambil bahagian dalam sidang kemuncak tersebut.
Penjelasan Zelensky itu membolehkan NATO meneliti bentuk sokongan yang boleh diberi termasuk menutup ruang udara serta membekalkan Ukraine dengan sistem pertahanan udara yang lebih kuat dan jet pejuang.
"Ini mungkin dalam beberapa bentuk. Tutup ruang udara, sediakan Ukraine dengan sistem pertahanan udara dan penerbangan yang berkesan.
"Sekutu NATO membantu Ukraine untuk memperkukuh haknya bagi mempertahankan diri dengan sejumlah besar peralatan ketenteraan kritikal," katanya.-AFP