fb fb fb fb fb

Setahun pemerintahan Taliban: Gesa AS pulangkan rizab negara

KABUL, 16 Ogos- Taliban meraikan sambutan setahun kembali berkuasa di Afghanistan selepas tentera penceroboh yang diketuai Amerika Syarikat (AS) meninggalkan negara itu tahun lalu.

Ratusan penjuang dan penyokong kumpulan itu berarak di jalan-jalan berhampiran kedutaan AS dan melepaskan tembakan ke udara menandakan kemenangan mereka.

Pemangku Menteri Luar, Amir Khan Muttaqi berkata Afghanistan yang baharu mahu membina hubungan baik dengan dunia namun dinafikan AS yang membekukan aset negara tersebut.

Ujarnya, ia suatu pencabulan hak bagi Afghanistan membangun semula ekonomi termasuk kestabilan sosial.

Pihak Taliban menuntut 9 bilion dolar rizab bank pusat yang dipegang di luar negara agar dikembalikan.

Ketika ini, Afghanistan sedang bergelut dengan peningkatan kemiskinan, kemarau dan kekurangan zat makanan penduduknya.


(FOTO REUTERS)

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu menggesa agar aset Afghanistan dikembalikan segera bagi mengatasi krisis kemanusiaan dan memudahkan pemulihan dan pembinaan semula negara itu.

Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Afghanistan, Ramiz Alakbarov berkata 19 juta rakyat Afghanistan sedang kebuluran dan kemelesetan ekonomi memaksa lebih ramai lagi ke dalam kemiskinan.

Sehubungan itu, beliau menyeru negara-negara berkaitan agar mengadakan rundingan segera dengan Taliban secepat mungkin.


(Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Afghanistan, Ramiz Alakbarov/ REUTERS)

Dalam pada itu, nada sama disuarakan Duta Tetap China ke PBB, Zhang Jun.

Bercakap ketika mesyuarat majlis keselamatan, beliau menegaskan pemulangan semula rizab tersebut penting bagi memberi galakan kepada kerajaan baharu serta warga Afghanistan.

Tambahnya, pengunduran pakatan yang diketuai AS sebelum ini harus bertanggungjawab dengan situasi semasa dan komited membangun semula negara yang diceroboh sebelum ini.

Ekonomi negara itu berada dalam keadaan tenat sejak setahun lalu selepas AS membekukan kesemua aset milik negara itu ketika Taliban kembali berkuasa dan mengambil alih pemerintahan serta membentuk kerajaan baharu.- REUTERS


(Duta Tetap China ke PBB, Zhang Jun/ REUTERS)

Media Baharu