fb fb fb fb fb

Pilihan raya Kenya: William Ruto diumum pemenang

NAIROBI, 16 Ogos- Presiden yang baharu dipilih, William Ruto komited untuk menjadikan Kenya antara negara yang disegani di benua Afrika.

Dalam ucaptama selepas diumumkan sebagai pemenang,beliau menyeru semua pihak agar bersatu untuk melihat masa hadapan tanpa perlu menoleh ke belakang.

"Saya berjanji kepada semua rakyat Kenya dalam apa jua cara mereka mengundi bahawa ini adalah kerajaan mereka. Saya tahu ramai yang tertanya-tanya terutama mereka yang telah melakukan banyak perkara terhadap kita, saya ingin memberitahu mereka, mereka tidak perlu takut, tidak ada ruang untuk membalas dendam, tidak ada ruang untuk melihat ke belakang. Kami sedang melihat masa depan. Saya sedar bahawa negara kita berada pada tahap di mana kita perlukan kerjasama semua pihak," katanya.


(William Ruto ketika memberi ucaptama selepas diumumkan sebagai pemenang/ REUTERS)

Bagaimanapun, pesaingnya menolak pengumuman tersebut selagi keputusan rasmi belum dikeluarkan.

Ia selepas tiga ahli suruhanjaya pilihan raya menafikan keputusan diumumkan pengerusinya, Wafula Chebukati yang menyebelahi Rotu dengan kiraan tipis satu peratus.

Sementara itu, ribuan penyokong Kenya Kwanza turun ke jalan raya meraikan pengisytiharan kemenangan William Ruto dalam pilihan raya presiden yang berlangsung sengit.

Meski beberapa pegawai kanan suruhanjaya menafikan keputusan tersebut, ia tidak menghalang mereka untuk terus meraikannya di jalan-jalan di Eldoret.


(Ribuan penyokong Kenya Kwanza turun ke jalan raya meraikan pengisytiharan kemenangan
William Ruto/ REUTERS)

Situasi tersebut sekaligus mencetuskan kebimbangan terhadap keganasan yang mungkin berlaku jika terdapat sebarang pertikaian sementara menantikan keputusan rasmi dibuat.

Ruto, 55 tahun telah menjadikan perbezaan kelas sosial sebagai bahan kempennya dengan berjanji untuk memberi lebih banyak peluang kepada golongan yang berpendapatan rendah.

Ruto diumumkan telah memenangi 50.49 peratus undi, berbanding pesaingnya Odinga dengan 48.5 peratus undi.- REUTERS

Media Baharu