SEOUL, 14 Januari- Sesi pertama perbicaraan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol berlangsung selepas hanya empat minit pada Selasa berikutan ketiadaannya, lapor agensi berita Yonhap berdasarkan kenyataan Mahkamah Perlembagaan.
Pemangku Presiden Mahkamah Moon Hyung Bae mengumumkan bahawa perbicaraan akan diteruskan seperti yang dijadualkan tanpa mengira kehadiran Yoon dengan sesi seterusnya ditetapkan pada Khamis pukul 2.00 petang.
Perbicaraan tersebut berkait dengan tindakan kontroversi Yoon menguatkuasakan undang-undang tentera pada 3 Disember yang membawa kepada penggantungannya selepas pengundian di Parlimen.
Yoon tidak hadir atas alasan kebimbangan keselamatan di tengah-tengah siasatan terhadap dakwaan pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa.
Mahkamah menolak permintaan Yoon untuk mengecualikan Hakim Chung Kye Sun daripada kes berkenaan dengan baki tujuh hakim sebulat suara memutuskan bahawa penglibatannya tidak akan menjejaskan keadilan perbicaraan.
Pasukan guaman Yoon sebelum ini membangkitkan kebimbangan terhadap Chung yang pernah memimpin sebuah kumpulan penyelidikan undang-undang progresif.
Moon turut menolak bantahan Yoon terhadap penjadualan awal lima tarikh perbicaraan dengan menyatakan proses itu mematuhi protokol Mahkamah Perlembagaan.
Mahkamah mempunyai sehingga 11 Jun untuk memutuskan sama ada untuk mengesahkan atau menolak pendakwaan itu.
Jika disahkan, Yoon akan disingkirkan daripada jawatan, mencetuskan pilihan raya presiden baharu dalam tempoh 60 hari. Jika ditolak, beliau akan kembali menjalankan tugas sebagai presiden. -BERNAMA-YONHAP