MANILA, 14 Januari- Kerajaan Filipina menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kehadiran kapal penjaga pantai China yang semakin mendekati garisan pantai negara itu, menurut kenyataan rasmi pada Selasa.
Filipina mendakwa penempatan kapal penjaga pantai China yang besar pada bulan ini menunjukkan peningkatan agresif Beijing di Laut China Selatan, sebuah kawasan yang menjadi pertikaian wilayah meskipun sebuah tribunal antarabangsa telah menafikan tuntutan China terhadap sebahagian besar kawasan tersebut.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Jonathan Malaya berkata kapal-kapal China semakin menghampiri pantai Filipina dengan penempatan kapal terbesar China yang digelar sebagai "kapal raksasa", ditempatkan 143 kilometer di barat Pulau Capones, Zambales.
Malaya menambah tindakan itu dilihat sebagai taktik menakutkan bertujuan untuk menggugat aktiviti perikanan di Filipina.
Sebagai tindak balas, Pengawal Pantai Filipina (PCG) telah menggerakkan kapal mereka yang berukuran 84 dan 97 meter untuk memberi tekanan kepada kapal China supaya menjauhi kawasan tersebut.
Namun, Kementerian Luar China mempertahankan rondaan kapal penjaga pantai mereka sebagai sah dan mengikut undang-undang sambil memberi amaran kepada Filipina untuk menghentikan sebarang tindakan yang didakwa mencabar keamanan dan ketenteraman di Laut China Selatan.-AFP