UNHRC akan mengadakan sesi khas pada hari Khamis untuk menangani dakwaan pencabulan hak asasi manusia Rusia semasa perangnya di Ukraine/AFP)
UKRAINE, 10 Mei - Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) akan mengadakan sesi khas pada Khamis ini untuk menangani dakwaan pencabulan oleh tentera Rusia yang semakin teruk dalam perang di Ukraine.
Lebih 50 negara menyokong permintaan Kiev untuk mengadakan mesyuarat luar biasa badan hak asasi tertinggi PBB itu untuk meneliti keadaan hak asasi manusia yang semakin merosot di Ukraine berpunca daripada pencerobohan Rusia.
Duta Ukraine ke PBB, Yevheniia Filipenko berkata langkah itu akan menghantar isyarat kepada Presiden Rusia Vladimir Putin.
(Duta Ukraine ke PBB, Yevheniia Filipenko bercakap pada pembukaan sesi Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva pada 28 Februari 2022/AFP)
“Bersama-sama, kami menghantar satu lagi mesej kuat kepada Putin dan kumpulan penjenayah perangnya: anda akan diasingkan seperti yang tidak pernah anda alami sebelum ini,” kata Filipenko dalam mesej video di Twitter.
"Kami mahu melihat PBB mengambil langkah praktikal untuk menangani pencabulan hak asasi manusia Rusia di Ukraine dan jenayah perang yang ia lakukan setiap hari terhadap rakyat kami," katanya.
Rusia adalah ahli UNHRC sehingga Perhimpunan Agung PBB pada 7 April mengundi untuk menggantungnya daripada badan itu.
Rusia kemudian segera menarik diri. -AFP