ATHENS, 24 September - Penganjur bantuan flotila ke Gaza yang membawa aktivis pro-Palestin memaklumkan mereka mendengar letupan serta melihat beberapa dron menyerang sebahagian kapal ketika berada di perairan Greece pada Selasa.
Menurut Global Sumud Flotilla (GSF), beberapa dron, objek tidak dikenali dijatuhkan, komunikasi diganggu dan letupan kedengaran daripada beberapa kapal.
“Kami menyaksikan operasi itu secara langsung ketika ini, tetapi kami tidak akan gentar,” menurut kenyataan itu.
Aktivis hak asasi manusia Jerman, Yasemin Acar yang juga ahli flotila berkata melalui video di Instagram bahawa lima kapal telah diserang.
“Kami hanya membawa bantuan kemanusiaan. Kami tidak memiliki senjata. Kami tidak mengancam sesiapa. Israel yang membunuh ribuan orang dan menyebabkan seluruh penduduk kebuluran,” katanya.
Dalam video lain, Acar berkata aktivis melihat 15 ke 16 dron, selain menambah radio mereka diganggu dengan muzik kuat.
Rakaman di Instagram rasmi flotila menunjukkan satu letupan dari sebuah kapal.
Aktivis Brazil, Thiago Avila pula berkata empat kapal disasarkan dengan dron yang melepaskan peranti sebelum satu lagi letupan kedengaran.
GSF belayar dari Barcelona awal bulan ini dengan tujuan memecah sekatan Israel ke atas Gaza dan menghantar bantuan ke wilayah itu.
Ketika ini ia melibatkan 51 kapal, kebanyakannya berada di perairan pulau Crete, Greece.
Flotila itu sebelum ini sudah dua kali menjadi sasaran serangan dron di Tunisia, ketika kapalnya berlabuh sebelum meneruskan pelayaran ke Gaza.
Antara tokoh terkenal yang menyertai ialah aktivis alam sekitar Greta Thunberg.
Israel pada Isnin menegaskan tidak akan membenarkan kapal-kapal tersebut tiba di Gaza.
Pada Jun dan Julai lalu, Israel turut menggagalkan dua percubaan aktivis untuk sampai ke Gaza melalui laut.
Israel kini berdepan tekanan antarabangsa berhubung perang di Gaza yang mencetuskan krisis kemanusiaan serius di wilayah Palestin itu.
Bulan lalu, sebuah badan disokong Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di sebahagian Gaza.
Pada 16 September, penyiasat PBB mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di wilayah terkepung itu, hampir dua tahun selepas perang tercetus susulan serangan Israel pada 7 Oktober 2023. -AFP