fb fb fb fb fb

Serangan udara Rusia ragut empat nyawa di Ukraine

Foto Reuters

KIEV, 1 Februari – Rusia melancarkan serangan besar-besaran menggunakan dron dan peluru berpandu ke atas Ukraine pada Sabtu, mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang awam serta merosakkan bangunan kediaman dan infrastruktur di seluruh negara.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Ukraine, sebuah peluru berpandu Rusia telah menghentam sebuah bangunan kediaman di bandar tengah Poltava, menyebabkan tiga kematian dan mencederakan 10 yang lain, termasuk seorang kanak-kanak.

Imej yang dimuat naik kementerian itu di aplikasi Telegram menunjukkan beberapa tingkat atas bangunan berkenaan musnah dengan kepulan asap tebal menjulang ke udara.

Pasukan bomba serta berpuluh-puluh penyelamat kini giat mencari mangsa di bawah runtuhan.

Seorang lagi mangsa maut manakala empat yang lain cedera dalam serangan dron di bandar Kharkiv di timur laut negara itu, kata Datuk Bandar Kharkiv.

Di bandar Zaporizhzhia, Rusia turut menyebabkan kerosakan ke atas beberapa bangunan, menurut laporan pegawai tempatan.

Pasukan pertahanan udara Ukraine bertindak balas terhadap serangan yang turut menyasarkan ibu negara, Kiev.

Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan segera mengenai kerosakan besar atau korban jiwa di kawasan itu.

Pegawai yang bertanggungjawab memantau hak asasi manusia Ukraine, Dmytro Lubinets, mengecam serangan tersebut dan menegaskan bahawa Rusia tidak akan berhenti melakukan jenayah perang.

"Serangan harian Rusia ke atas Ukraine adalah isyarat bahawa penceroboh tidak akan berhenti melakukan jenayahnya," katanya di Telegram.

"Malam tadi dan pada waktu pagi, Rusia sekali lagi mengebom Ukraine: Odesa, Poltava, Kharkiv, Zaporizhzhia... Pengganas menyasarkan infrastruktur awam: bangunan kediaman, institusi pendidikan, kenderaan."

Ketika perang Rusia-Ukraine menghampiri tahun ketiga bulan ini, Moscow semakin meningkatkan serangan udara, dengan menghantar puluhan dron hampir setiap hari.

Serangan pagi Sabtu itu menyusuli serangan peluru berpandu Rusia pada malam sebelumnya yang mengenai pelabuhan Laut Hitam di selatan Odesa, merosakkan pusat bersejarah bandar tersebut.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN