NOVI SAD, 1 Februari – Ribuan pelajar dijangka menyekat jalan dan menduduki jambatan di Novi Sad, Serbia, hari ini bagi memperingati tiga bulan sejak kejadian runtuhan bumbung stesen kereta api yang mencetuskan gerakan anti-rasuah di negara itu.
Demonstrasi itu merupakan siri protes terbaru yang melanda Serbia susulan tragedi yang berlaku pada November lalu di bandar utara Novi Sad, mengorbankan 15 nyawa.
Gerakan yang diketuai oleh pelajar universiti itu telah meningkatkan tekanan terhadap kerajaan sehingga menyebabkan beberapa pegawai tinggi meletakkan jawatan, termasuk Perdana Menteri, Milos Vucevic awal minggu ini.
Peletakan jawatan tersebut berlaku selepas sekatan selama 24 jam di sebuah persimpangan utama di ibu negara Belgrade, yang didahului oleh mogok umum beberapa hari sebelumnya, mengakibatkan sekolah dan perniagaan kecil ditutup di seluruh negara.
Tragedi di Novi Sad, yang berlaku selepas kerja-kerja pengubahsuaian besar-besaran stesen kereta api, telah mencetuskan kemarahan rakyat Serbia terhadap isu rasuah serta dakwaan kurangnya pengawasan dalam projek pembinaan kerajaan.
Pelajar universiti kini menjadi peneraju utama gerakan protes, dengan menyekat kampus di seluruh negara selama beberapa minggu.
Presiden Aleksandar Vucic dan pegawai kerajaan lain bersilih ganti menyeru kepada rundingan dan menuduh demonstrasi itu didalangi oleh kuasa asing.
Bagi meredakan ketegangan, kerajaan telah berusaha memenuhi beberapa tuntutan utama penganjur protes, termasuk mendedahkan dokumen berkaitan kerja-kerja pengubahsuaian stesen kereta api, memberikan pengampunan kepada penunjuk perasaan yang ditahan, meningkatkan pembiayaan bagi pendidikan tinggi, dan memulakan tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menyerang demonstrasi.
Bagaimanapun, menurut Bojan Klacar, pengarah Cesid, sebuah organisasi pemantau pilihan raya di Serbia, tindakan kerajaan itu mungkin tidak mencukupi untuk meredakan protes.
"Ia telah berkembang menjadi satu gerakan yang lebih luas di mana perubahan sistemik yang lebih mendalam sedang dituntut," katanya kepada AFP.
Menjelang perhimpunan hari ini, ratusan pelajar telah meninggalkan Belgrade pada Khamis untuk berarak sejauh 80 kilometer ke Novi Sad.
Sepanjang perjalanan, mereka disambut oleh penduduk di kampung dan bandar kecil.
"Saya berjalan untuk memberi penghormatan kepada semua mangsa tragedi besar yang berlaku di Novi Sad," kata seorang pelajar kepada AFP sebelum berangkat dari Belgrade.
Ketegangan semakin meningkat di Serbia dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan keganasan tercetus di beberapa protes apabila pelajar menuduh kumpulan samseng pro-kerajaan menyerang demonstrasi mereka.-AFP