fb fb fb fb fb

Burundi beri amaran perang serantau jika pertempuran DRC terus memuncak

Foto Reuters

NAIROBI, 1 Februari – Presiden Burundi, Evariste Ndayishimiye memberi amaran bahawa konflik yang semakin meruncing di timur Republik Demokratik Congo (DRC) berpotensi mencetuskan perang serantau, memandangkan ketegangan yang semakin meningkat di kawasan itu.

Kumpulan M23 yang disokong oleh Rwanda telah berjaya menguasai Goma, bandar utama di timur DRC, dan kini meneruskan serangan ke selatan.

Serangan itu menyusuli pelbagai konflik yang telah mengorbankan kira-kira enam juta nyawa dalam tempoh tiga dekad di rantau tersebut.

"Jika Congo Timur tidak aman, seluruh rantau ini tiada kedamaian," ujar Presiden Ndayishimiye dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial pada Sabtu.

"Jika keadaan ini berterusan, perang berisiko merebak ke seluruh rantau," tambahnya. "Jika Rwanda terus melakukan penaklukan... saya tahu perang akan sampai ke Burundi."

Kenyataan beliau dibuat ketika M23 terus maju ke selatan, dengan sasaran bandar Kavumu di South Kivu.

Kavumu, yang memiliki lapangan terbang tentera strategik, menjadi lokasi pertahanan utama tentera Congo, yang terletak hanya 40 kilometer dari ibu kota South Kivu, Bukavu.

Sebagai sebahagian daripada pasukan Komuniti Afrika Timur, Burundi telah menghantar tentera ke timur DRC untuk menyokong usaha tentera Congo.

Namun, pasukan lain dalam pasukan tersebut, kecuali kontingen Burundi, telah dituduh oleh DRC dan penduduk tempatan berkolusi dengan pihak yang menentang kerajaan Kinshasa.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN