fb fb fb fb fb

Serangan udara Israel ke atas Gaza berterusan

Puluhan serangan udara dan tembakan artileri menyasarkan beberapa kawasan di seluruh Gaza/AFP

BAITULMAQDIS, 4 Oktober - Tentera rejim Israel dilaporkan terus melancarkan serangan udara dan tembakan artileri ke atas Gaza City walaupun Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menggesa supaya pengeboman dihentikan selepas Hamas menerima perjanjian gencatan senjata.

Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata pihaknya merekodkan “malam yang sangat dahsyat” dengan puluhan serangan udara dan tembakan artileri menyasarkan beberapa kawasan di seluruh Gaza.

“Tentera Israel melancarkan puluhan serangan ke atas Gaza City dan kawasan lain di seluruh wilayah, meskipun terdapat seruan Presiden Trump untuk menghentikan pengeboman,” katanya kepada AFP.

Menurut Bassal, agensinya yang beroperasi bawah pentadbiran Hamas melaporkan sekurang-kurangnya 20 rumah musnah dalam serangan malam itu.

Hospital Baptist Gaza dalam satu kenyataan juga memaklumkan pihaknya menerima beberapa mangsa daripada serangan ke atas sebuah rumah di kejiranan Tuffah, termasuk empat maut dan beberapa lagi cedera.

Sementara itu, Hospital Nasser di Khan Yunis melaporkan dua kanak-kanak terbunuh dan lapan orang cedera selepas serangan dron mengenai sebuah khemah penempatan pelarian.

Serangan terbaharu tersebut berlaku ketika Washington mengemukakan pelan damai Gaza yang diumumkan Trump awal minggu ini.

Pelan itu mencadangkan gencatan senjata segera, pembebasan tebusan dalam tempoh 72 jam, serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI