fb fb fb fb fb

Serangan Rusia akibatkan tiga kematian, rosakkan pejabat NGO Switzerland di Kharkiv

Bangunan pejabat FSD (Fondation Suisse de Déminage), rosak dalam serangan peluru berpandu Rusia di Kharkiv

UKRAINE, 24 Julai- Beberapa siri serangan Rusia ke atas bandar Kharkiv di timur laut Ukraine dan wilayah sekitarnya pada Rabu, mengakibatkan tiga individu maut, mencederakan sekurang-kurangnya enam yang lain dan merosakkan pejabat badan bukan kerajaan (NGO) pembersihan lombong Switzerland, kata pegawai tempatan.

Bandar kedua terbesar di Ukraine disasarkan dengan dron, peluru berpandu dan serangan bom berpandu sejak Moscow melancarkan serangan besar-besarannya pada Februari 2022.

Polis wilayah berkata, serangan di bandar Lozova, selatan Kharkiv, membunuh tiga individu dan mencederakan enam yang lain, dengan operasi menyelamat diteruskan hingga petang.

Gabenor wilayah itu, Oleh Syniehubov berkata, pejabat Fondation suisse de déminage dan siling beberapa tingkat turut musnah.

Enam kereta yang digunakan oleh pegawai perubatan turut rosak, katanya.

Sementara itu Datuk Bandar Ihor Terekhov berkata terdapat lima serangan berasingan di bandar berkenaan sejak beberapa siri serangan Rusia.

Yang terbaru menyasarkan kawasan perindustrian dan mencederakan enam individu.

Polis berkata infrastruktur itu musnah dalam serangan berkenaan termasuk kerosakan pada kenderaan.

Syniehubov dan media tempatan melaporkan serangan baharu letupan itu menyasarkan kawasan luar bandar selepas tengah malam, tetapi tiada laporan mengenai kematian atau kerosakan.

Bagaimanapun Rusia menafikan serangan itu menyasarkan orang awam.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI