fb fb fb fb fb

Serangan peneroka haram Israel: Seorang rakyat Palestin terbunuh

Foto REUTERS

RAMALLAH, 16 Ogos-Sekurang-kurangnya seorang warga Palestin terbunuh dan seorang lagi cedera selepas ratusan peneroka haram Israel menyerang perkampungan Palestin berhampiran Bandar Qalqilya, Tebing Barat.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, mangsa yang terbunuh adalah Mahmoud Abdel Qader Sadda, 23, manakala seorang lagi cedera parah di dada akibat tembakan peneroka haram di kampung Jit, barat Nablus.

Menurut pihak berkuasa Palestin, peneroka haram bersenjata bertindak menyerang perkampungan dan membakar beberapa kenderaan.

Sementara itu, tentera Israel berkata pihaknya bersama polis telah campur tangan bagi menghentikan serangan berterusan daripada peneroka haram dan berjaya menahan seorang daripada mereka.

Ujar tentera Israel, pihaknya sedang meneliti laporan mengenai kematian warga Palestin itu.

"Seorang warga Israel ditahan untuk disoal siasat," katanya dalam satu kenyataan, namun tidak mengesahkan kematian warga Palestin berkenaan

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata pihaknya memandang serius rusuhan yang berlaku.

"Mereka yang bertanggungjawab atas sebarang perbuatan jenayah akan ditangkap dan didakwa," katanya menerusi satu kenyataan.

Rakyat Palestin mendakwa pasukan keselamatan Israel membenarkan kumpulan peneroka berkenaan menyerang rumah dan kampung mereka.

Serangan oleh peneroka haram Israel bukan sesuatu yang baharu dan telah menarik perhatian dunia.

Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah telah mengenakan sekatan ke atas peneroka haram tersebut dan berulang kali menggesa Israel untuk melakukan lebih banyak lagi larangan untuk mengekang serangan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD