fb fb fb fb fb

Serangan sasar tentera AS: Biden beri amaran kepada Iran

Presiden AS, Joe Biden (Kiri) bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese (kanan)/FOTO AFP

WASHINGTON, 27 Oktober - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkaitan serangan negara berkenaan yang menyasarkan tentera AS berikutan konflik Hamas-Israel, kata White House pada Khamis.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby amaran tersebut disampaikan secara terus tanpa berselindung.

"Terdapat mesej secara terus. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan", kata Kirby kepada pemberita tanpa memperincikan bagaimana ia (amaran) tersebut disampaikan.

Khamis lalu, Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin berkata tentera AS melakukan serangan terhadap dua kemudahan di timur Syria yang digunakan oleh Pengawal Revolusi Islam Iran.

Tambah Austin, tentera AS dan sekutunya di Iraq dan Syria telah diserang sekurang-kurangnya sebanyak 16 kali bulan ini ketika ketegangan meningkat di Asia Barat.

Amerika Syarikat (AS) mendakwa serangan berkenaan dilancarkan oleh kumpulan pejuang yang disokong oleh Iran.

Pada Rabu, Biden dalam satu sidang media berkata dia telah memberi amaran kepada Khamenei dan akan bertindak balas sekiranya serangan terhadap tentera Amerika Syarikat berterusan.

"Saya memberi amaran kepada Khamenei sekiranya mereka masih meneruskan serangan ke atas tentera AS, Kita akan bertindak.

"Kita harus bersiap siaga. Perkara ini tiada kaitan dengan Israel", kata Biden.

Sementara itu, Iran turut memberi amaran terhadap Washington pada perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa bersatu (PBB) berkaitan serangan besar-besaran Israel melalui udara dan artileri susulan Operasi Ribut Al-Aqsa oleh Hamas pada 7 Oktober lalu.

"Secara jujurnya, kepada pemimpin dan tentera AS yang melakukan penghapusan bangsa di Palestin, Iran tidak mengalu-alukan penjajahan dan segala bentuk perang di rantau Asia Barat.

"Iran memberi amaran, sekiranya pembunuhan terus berlaku di Gaza, mereka tidak akan terlepas daripada jenayah ini", kata Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian.

Amerika Syarikat telah memindahkan dua kapal pengangkut pesawat berhampiran Israel sejak serangan Hamas dalam apa yang dikatakan sebagai usaha untuk menghalang Iran dan sekutunya daripada meluaskan konflik.

Pada Ahad Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin turut mengarahkan agar sistem pertahanan udara di Asia Barat diaktifkan dan memaklumkan kemungkinan menambah tentera AS tidak lama lagi.

Terdapat kira-kira 2,500 tentera Amerika di Iraq dan kira-kira 900 di Syria sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghalang kebangkitan semula kumpulan Negara Islam (ISIS) yang pernah menguasai wilayah penting di Iraq dan Syria.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD