GALAPAGOS, 27 Oktober- Kumpulan saintis menemukan dua gunung laut yang belum diterokai di Kepulauan Galapagos, Ecuador, lapor Yayasan Charles Darwin (CDF).
Kewujudan gunung laut tersebut yang dipenuhi terumbu karang itu mula dikesan penyelidik menerusi imej satelit.
CDF berkata, terumbu karang terbesar adalah 800 meter panjang iaitu bersamaan lapan padang bola sepak, manakala satu lagi terumbu berukuran 250 meter panjang, masing-masing terletak antara 370 dan 420 meter di bawah paras laut.
"Ekspedisi menemui terumbu karang baharu di atas gunung laut yang tidak dipetakan di bahagian tengah Galapagos. Ia mungkin telah terbentuk selama beribu-ribu tahun," menurut kenyataan.
Ekspedisi itu berlangsung selama 30 hari melibatkan seramai 24 saintis dari 13 organisasi dan universiti, termasuk Institut Perikanan dan Sains Marin di Memorial University of Newfoundland and Labrador, Taman Negara Galapagos, Yayasan Charles Darwin, Persatuan National Geographic, Universiti Bristol , Institut Oseanografi Woods Hole dan University Costa Rica.
Sehingga April tahun ini, Taman Negara Galapagos menganggap bahawa terumbu Wellington, di luar Pulau Darwin, adalah satu-satunya yang terselamat daripada fenomena iklim El Nino pada tahun 1982-1983. -AFP