fb fb fb fb fb

WFP kritik pemeriksaan bawa masuk bantuan ke Gaza terlalu ketat

Sukarelawan Mesir berkumpul di sisi trak membawa bantuan makanan kepada penduduk Palestin menerusi lintasan Rafah di Mesir./ REUTERS

WASHINGTON, 27 Oktober- Pemeriksaan terlalu ketat ke atas trak membawa bantuan kemanusiaan, menyebabkan kesesakan di persimpangan Rafah, Mesir ke Gaza, sekali gus meningkatkan risiko kebuluran dalam kalangan penduduk Palestin.

Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cindy McCain, menegaskan bantuan yang diterima sangat sedikit.

Beliau yang melawat Mesir dan bertemu pegawai berkata, setiap trak perlu menurunkan muatannya di pusat pemeriksaan dan perlu memuatkannya semula sejurus prosedur selesai.

"Trak yang masuk sangat sedikit. Kita perlu mendapatkan (bantuan) dalam jumlah besar, selain memerlukan akses ke Gaza yang selamat dan tidak terkawal supaya makanan boleh diagihkan serta memastikan orang ramai tidak mati kebuluran.

"Birokrasi sangat gila," katanya sambil menambah prosedur berkenaan sepatutnya dipermudah, walaupun memahami pemeriksaan diperlukan untuk memastikan senjata dan peluru tidak diseludup.

Cindy berkata, WFP perlu mengumpul AS$100 juta (RM477 juta) untuk memberi makan kepada lebih sejuta orang di Gaza hingga akhir tahun ini, bagi membiayai bantuan kemanusiaan akibat pelbagai kecemasan di seluruh dunia.

Beliau mengakui pegawai dan penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) bimbang bantuan akan disalurkan kepada Hamas, namun WFP menegaskan ia memiliki sistem untuk memastikan ia diagihkan kepada golongan memerlukan.

"Ini adalah zon perang. Pelbagai perkara boleh berlaku. Saya tidak boleh memberi kepastian mengenai agihan bantuan tetapi akan melakukan yang terbaik untuk meminimumkan apa-apa risiko," katanya.

Trak misi itu bagaimanapun tidak boleh membawa bahan api susulan kebimbangan ia akan digunakan Hamas, seperti diketengahkan Israel, biarpun makanan, air dan ubat dibenarkan dibawa masuk ke Gaza, sejak Sabtu lalu.

Sementara itu, WFP memaklumkan tiga trak agensi itu membawa kira-kira 60 tan makanan untuk diagihkan kepada 200,000 orang sehari, sudah masuk ke Gaza, manakala satu trak tambahan sudah melintasi, Sabtu lalu.

Bulan Sabit Merah Palestin semalam, pula berkata sudah menerima 74 trak bantuan.

Pintu sempadan Rafah telah menjadi titik utama penyampaian bantuan sejak Israel mengenakan 'pengepungan menyeluruh' ke atas Gaza pada 7 Oktober.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI