fb fb fb fb fb

Israel dakwa serangan peluru berpandu Hamas mengenai bandar peranginan Mesir

Peluru berpandu itu didakwa mengenai kemudahan perubatan di Taba dan mencederakan sekurang-kurangnya enam orang awam

KAHERAH, 27 Oktober - Sebuah peluru berpandu yang dilancarkan oleh pejuang Hamas mengenai sebuah bandar peranginan Mesir kira-kira 220 km (135 batu) dari Semenanjung Gaza pada awal Jumaat, memetik sumber berita Al Qahera.

Peluru berpandu itu didakwa mengenai kemudahan perubatan di Taba dan mencederakan sekurang-kurangnya enam orang awam.

Seorang saksi di Taba mengesahkan mendengar letupan dan melihat kepulan asap.

Al Qahera turut melaporkan serangan peluru berpandu tersebut mengenai kemudahan ambulans Taba dan sebuah bangunan kediaman yang dijadikan pentadbiran Hospital.

Taba, yang terkenal sebagai pusat pelancongan, terletak kira-kira tiga jam dari bandar peranginan Laut Merah Sharm el-Sheikh di Mesir.

Pada Rabu, Hamas berkata ia menyasarkan Eilat dengan peluru berpandu, yang menurut tentera Israel mengenai kawasan terpencil. Insiden berkenaan merupakan serangan Hamas paling jauh dalam konflik Hamas-Israel sejak 7 Oktober lalu.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Letupan di Taba menyerlahkan risiko yang dihadapi Mesir dan negara-negara lain di Asia Barat ketika pertempuran antara Hamas dan Israel semakin sengit.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN