fb fb fb fb fb

Serangan Israel paksa ribuan penduduk Gaza berpindah

Foto AFP

BEIT LAHIA, 5 Disember- Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan bahawa tentera Israel telah mengeluarkan arahan pemindahan pada Rabu ketika melancarkan serangan ke atas bandar Beit Lahia di utara Gaza.

Jurucakap agensi itu, Mahmud Basal, berkata tentera menggunakan pembesar suara pada dron untuk mengarahkan penduduk yang berlindung di sebuah sekolah supaya keluar, sambil melepaskan tembakan peluru kereta kebal ke kawasan tersebut.

"Tembakan udara dan artileri oleh tentera telah memaksa ribuan penduduk meninggalkan Beit Lahia melalui jalan Salah al-Din, laluan utama utara-selatan Gaza,” katanya kepada AFP.

Penduduk, Zudi Agha, 45, yang sebelum ini berpindah ke sekolah itu dari rumahnya di Beit Lahia berkata beliau melarikan diri ke Al-Saftawi, berhampiran Gaza City.

"Kami diarahkan untuk meninggalkan sekolah dan kawasan itu demi menyelamatkan nyawa. Keganasan semakin meningkat pada waktu pagi.

"Saya nampak orang ramai melarikan diri, jadi saya membuat keputusan untuk melarikan diri juga.

"Kami berjalan kaki sambil membawa ibu saya menggunakan kereta keldai. Terdapat kereta kebal di mana-mana, dan seluruh kawasan itu dipenuhi runtuhan dan kemusnahan,” katanya kepada AFP.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM