GAZA, 5 Disember- Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan bahawa 20 orang termasuk lima kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah kem perlindungan berhampiran Khan Yunis di selatan wilayah tersebut.
Jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal, memberitahu AFP, puluhan orang cedera selepas penjajah Israel mengebom khemah-khemah perlindungan di kawasan Al-Mawasi, berhampiran Khan Yunis.
Ketika ditanya mengenai serangan itu, tentera Israel kononnya menyatakan mereka menyasarkan pejuang Hamas di kawasan kemanusiaan di Khan Yunis. Tentera itu mendakwa terdapat letupan susulan selepas serangan tersebut, yang dikatakan senjata disimpan di lokasi tersebut.
Tentera Israel sebelum ini mengisytiharkan Al-Mawasi sebagai zon kemanusiaan selamat pada awal peperangan dan mengarahkan penduduk Gaza berpindah ke kawasan itu demi keselamatan.
Puluhan ribu penduduk Gaza berpindah ke kawasan itu, namun kawasan itu berulang kali menjadi sasaran serangan Israel, termasuk serangan pada September lalu yang menyebabkan 19 kematian, menurut Agensi Pertahanan Awam.
Serangan tersebut mencetuskan kecaman antarabangsa, termasuk dari negara-negara Barat dan Liga Arab.
Pada Julai lalu, Israel menyerang kem perlindungan itu dan mengorbankan sekurang-kurangnya 92 orang, menurut laporan Kementerian Kesihatan.
Hampir keseluruhan penduduk Gaza telah dipindahkan dalam tempoh lebih setahun konflik antara Israel-dan Hamas. Manakala, lebih 44,000 rakyat Gaza terkorban yang majoritinya orang awam, menurut data daripada Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.-AFP