fb fb fb fb fb

Serangan dron Ukraine akibatkan kilang minyak terkemuka Rusia terbakar

Rosneft/ Reuters

KIEV, 24 Februari- Kilang minyak terkemuka di Rusia, Rosneft terbakar akibat serangan dron yang dilancarkan Ukraine, lapor media dan pegawai Rusia.

Kiev menyasarkan serangan di beberapa tapak tenaga Rusia dalam serangan dron jarak jauh yang dikatakan sebagai tindakan balas terhadap serangan peluru berpandu Moscow yang telah melumpuhkan grid tenaga Ukraine dan memutuskan bekalan tenaga kepada berjuta-juta penduduk.

"Kilang minyak di Ryazan telah diserang, ia merupakan salah satu yang terbesar di Rusia," kata jurucakap Pusat Penyelidikan Keselamatan Negara dan Majlis Pertahanan Ukraine, Andriy Kovalenko.

Kilang berkenaan turut menghasilkan bahan api penerbangan dan mengakibatkan operasinya terganggu "untuk penerbangan barisan hadapan tentera Rusia."

Sementara itu Gabenor wilayah Ryazan, Pavel Malkov menerusi Telegram memaklumkan bahawa "kebakaran berlaku di wilayah perusahaan tersebut berpunca daripada serpihan yang jatuh" selepas dron itu ditembak.

Kementerian Pertahanan Rusia melaporkan ia telah menembak jatuh 22 dron Ukraine, termasuk dua di wilayah Ryazan, tenggara Moscow.

Kovalenko juga memaklumkan bahawa kilang yang dimiliki oleh gergasi minyak Rusia, Rosneft itu diserang buat kali ketiga tahun ini.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI