BEIJING, 24 Februari- Sebuah mahkamah di China menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas empat individu yang terlibat dalam kes penipuan telekomunikasi rentas sempadan, Xinhua memetik Mahkamah Agung Rakyat (SPC) pada Isnin.
Menurut SPC, kesemua defendan meninggalkan China untuk menubuhkan sindiket penipuan telekomunikasi.
Seorang daripada mereka yang dikenali dengan nama keluarga Yu, bertindak merekrut beberapa individu lain untuk melakukan jenayah itu di luar negara.
Dalam satu lagi kes, seorang defendan dengan nama keluarga Yang sebelum ini pernah disabitkan atas kesalahan berkaitan penipuan telekomunikasi, dijatuhi hukuman berat selepas didapati mengulangi kesalahan sama.
Sementara itu, dua individu dalam kes berasingan didapati merekrut kanak-kanak bawah umur untuk terlibat dalam aktiviti itu.
Meskipun sekadar bertindak sebagai rakan subahat dan mengaku bersalah, mahkamah tetap mengenakan hukuman berat ke atas dua individu itu.
Mahkamah turut memerintahkan wang yang diperoleh secara penipuan dipulangkan dan memberi jaminan bahawa wang yang dirampas akan diserahkan kepada mangsa dalam tempoh sewajarnya.- BERNAMA