DHAKA, 24 Februari- Pelajar yang menggulingkan Perdana Menteri Bangladesh ketika itu Sheikh Hasina, akan melancarkan parti politik baharu minggu ini, menurut dua sumber yang mengetahui perkembangan itu.
Kumpulan Mahasiswa Menentang Diskriminasi (SAD) menerajui bantahan di Bangladesh susulan menentang kuota pekerjaan sektor awam, namun ia berubah menjadi pemberontakan lebih luas di seluruh negara itu hingga memaksa Hasina melarikan diri ke India ketika pergolakan memuncak pada Ogos.
Ketika ini kumpulan pelajar itu sedang memuktamadkan rancangan untuk melancarkan parti baharu di Bangladesh dalam satu acara, menurut sumber yang tidak mahu dikenali kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.
Nahid Islam, seorang pemimpin pelajar dan penasihat kepada kerajaan sementara yang mengambil alih Bangladesh selepas pengunduran Hasina.
Dia menjadi tokoh penting dalam memperjuangkan kepentingan pelajar dalam kerajaan sementara, yang diketuai oleh pemenang Hadiah Nobel Muhammad Yunus, yang telah menerajui Bangladesh sejak Ogos 2024.
Beliau dijangka meletak jawatan daripada peranannya untuk memberi tumpuan kepada menerajui parti politik baharu itu.
Bagaimanapun Nahid Islam tidak memberikan sebarang komen berhubung perkara itu.
Yunus memaklumkan bahawa pilihan raya boleh diadakan pada penghujung 2025, dan ramai penganalisis politik percaya bahawa parti pimpinan belia boleh membentuk semula landskap politik negara itu dengan ketara.
Berhubung penubuhan parti politik baharu daripada pelajar Bangladesh, pejabat Yunus tidak segera memberikan sebarang respons.
Negara Asia Selatan itu bergelut dengan pergolakan politik sejak pengunduran Hasina berikutan protes selama berminggu-minggu hingga mengakibatkan lebih 1,000 individu terbunuh.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bulan ini mendakwa pegawai bekas kerajaan dan keselamatan Hasina melakukan pencabulan hak asasi manusia yang serius terhadap penunjuk perasaan semasa pemberontakan di Bangladesh.- Reuters