KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi menegaskan komitmen negaranya untuk terus menyokong pandangan ASEAN terhadap konsep Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, sambil menyeru agar hubungan kerjasama antara Tokyo dan blok serantau itu diperkukuh.
Berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN di Kuala Lumpur pada Ahad, Takaichi menekankan kepentingan kolaborasi strategik dalam memastikan kestabilan, keselamatan dan pembangunan bersama di rantau Indo-Pasifik.
Penyertaannya dalam sidang kemuncak berkenaan merupakan yang pertama sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Jepun pada 21 Oktober lalu, mengetuai kerajaan yang kini kekurangan dua undi untuk membentuk majoriti dalam Dewan Rendah Parlimen Jepun yang mempunyai 465 kerusi.
Takaichi turut hadir bersama beberapa pemimpin dunia lain, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Perdana Menteri China, Li Qiang, dalam sidang yang diadakan pada waktu kritikal ketika rantau itu berdepan ketegangan di Laut China Selatan, krisis berterusan di Myanmar, serta usaha memperkukuh integrasi ekonomi di tengah ketidaktentuan perdagangan global. -REUTERS