KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi jaminan Washington akan kekal menjadi rakan kongsi kukuh bagi rantau Asia Tenggara “untuk generasi akan datang.”
Berucap pada Sidang Kemuncak AS–ASEAN di Kuala Lumpur pada Ahad, Trump menegaskan Amerika Syarikat kini berada dalam “era keemasan,” sambil menyatakan komitmen negaranya terhadap kerjasama serantau yang berterusan.
“Pesanan kami kepada negara-negara Asia Tenggara ialah Amerika Syarikat bersama anda 100 peratus, dan kami berhasrat untuk terus menjadi rakan kongsi yang kuat untuk generasi yang akan datang,” katanya.
Trump kini berada di Malaysia sebagai destinasi pertama dalam siri lawatannya ke Asia.
Lawatan tersebut turut bertujuan menyaksikan Kemboja dan Thailand menandatangani perjanjian gencatan senjata yang lebih menyeluruh, selepas beliau memainkan peranan penting dalam memeterai penghujung konflik berdarah selama lima hari di sempadan kedua-dua negara pada Julai lalu. -REUTERS